2011/07/17



Assalamu’alaikum warahmatullah.

Saya agak kurang sihat sekarang… simptom yang dialami ialah pening, muntah dan sering keletihan, demam…dan juga… rasa tidak berminat untuk membuka ‘laptop’… :)
Bau-bau masakan jiran yang dahulunya membuatkan saya tertanya-tanya apa yang dimasak mereka… sekarang ini terasa begitu menyakitkan… uwek…uwek…uwek… apa lagi, kalau tidak dimuntahkan kembali apa yang ada di dalam perut meskipun sekadar air dan angin apabila terbau bauan yang menyucuk hidung…
Mula-mula alahan datang, mengidam makan Nasi Kerabu… dua tiga hari selepasnya… dek asyik teringat… semasa mahu memohon terjemahan lesen memandu di JPJ Panji, saya berpusing mencari Nasi Kerabu Hitam kegemaran. Kedai berhampiran rumah yang saya suka Nasi Kerabunya sudah lama tidak menjual Nasi Kerabu Hitam dengan rasa serainya. Jadi terpaksa ‘round’ tempat lain untuk mendapatkannya. Biasanya saya minta suami carikan apa-apa yang saya mahu makan… namun kali ini, dia begitu sibuk… saya pun seboleh-bolehnya kena kurangkan bermanja dan kurang membebankan dia.
Haa… Alhamdulillah jumpa juga Nasi Kerabu Hitam…
“Makcik… Nasi Kerabu dua bungkus”
Itu dia… dua bungkus sekali pesan… ada keropok tapi ikan celup tepungnya sudah habis…
“Makcik… letakkan sekali ‘habuk’ ikan goreng tu ye…”
Dua bungkus Nasi Kerabu dalam genggaman… mahu segera makan, tiada tempat yang sesuai untuk ‘landing’… Hmmm… tak apa lah… selesaikan urusan di JPJ dulu. Nasib baik tidak lama… sebab dokumen yang diperlukan tidak cukup. Selepas ambil borang… segera kembali ke rumah. Alhamdulillah… dapat ‘pekena’ Nasi Kerabu pagi sekali dan tengahari sekali. Puas hati…
Betul kah kata-kata orang tua yang menyatakan jika ibu hamil mengidam itu tandanya janin dalam perut yang mahukan semua itu… jika tidak dipenuhi… selepas lahir… bayi itu akan selalu berair mulutnya? Entahlah saya rasa semua itu khurafat… saya yang hamil… saya yang mengidam… sayalah yang mahu makan semua itu.
Selepas itu, tidak ingat lagi Nasi Kerabu… hai… perasaan lain pula yang datang… mahu Nasi Arab pula… di Kelantan hanya ada dua restoran makanan Arab yang saya tahu… pertama Tarbus dekat Billion dan kedua Arabesque di Jalan Dato’ Lundang. Namun kedua-duanya saya rasa makanan Arabnya tidak seasli yang saya pernah makan di Jordan walaupun chefnya orang Arab sendiri. Saya mahu masak sendiri… lagilah jauh dari rasa aslinya… jadi nasi ayam bolehlah…
Akhirnya, kerana asyik teringat… saya mencemar duli juga berkunjung ke Arabesque. Selepas melihat menu, saya menempah Nasi Mandi Kambing, Nasi Mandi Ayam dan syawarma daging campur ayam. Ada humus sekali. Jika ikutkan, di Tarbus, harga makanan lebih murah… tapi Arabesque lebih dekat dengan rumah. Ok… selepas ‘pekena’ Nasi Mandi… sudah boleh lupakan nasi Arab… selepas ini saya tidak tahu apa lagi yang akan saya mengidam… lazimnya ia tidak akan berakhir sehinggalah bayi keluar dari ‘rumahnya’. Masya Allah…
Itulah sedikit sebanyak kerenah ibu hamil yang dapat dicoretkan di sini.
Alhamdulillah dan insya Allah… anak kelima saya, Aqil akan dapat adik lagi. Kandungan baru berusia 8 minggu. Bagi memujuk hati agar sabar dan reda pada situasi alahan yang di alami sekarang, saya selalu teringatkan perkataan Allah, wahnan ‘ala wahnin”… hmmm benar… Allah yang paling memahami diri saya saat ini…bukan saat ini sahaja… malah dulu, kini dan selamanya…
Pengalaman hamil sebanyak 5 kali sebelum ini dengan ragam alahan yang pelbagai menyebabkan saya begitu menghargai ayat 14 dari Surah Luqman yang berbunyi,
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan(dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Buat semua anak-anak, sama-sama kita berbakti kepada kedua ibubapa selagi hayat mereka dikandung badan. Usah tunggu sehingga mereka meninggal dulu baru mahu menyesal.
Buat anak-anak gadis yang masih tinggal bersama ibubapa, rajin-rajinlah menolong ibubapa di rumah tanpa perlu disuruh… lakukan kerana Allah dan dengan wajah yang manis… kelak hidupmu akan diberkati Allah dan sentiasa mendapat perlindungan dariNya. Rezekimu juga mudah mendekatimu. Jodoh yang baik juga akan didekatkan Allah kepadamu… tentu kamu suka begitu… bukan?
Jika anak-anak gadis hanya tahu membuta di pagi hari, membiarkan ibu yang sudah tua memasak untuk mereka setiap hari, membiarkan ibu mengurus rumah seorang diri dan hanya tahu melepak di luar rumah dengan rakan-rakan… tunggulah masanya Allah menyempitkan rezekimu… segala usaha duniamu menjadi sukar… jodohmu semakin jauh… dan jika ia datang sekalipun, suamimu itu bakal menggoncangkan kehidupanmu… pada saat itu, jangan kau mencari salah orang lain KECUALI dirimu sendiri…
Buat anak-anak lelaki, kedua ibubapamu lebih utama dari rakan-rakan dan isterimu sendiri… maka peliharalah hati kedua mereka selagi dalam perkara mentaati Allah swt. Ziarahilah mereka secara berkala dan hubungilah mereka selalu jika tidak berkesempatan menghadirkan jasad di hadapan mereka. Kelak hidupmu akan bahagia dan sentiasa dimurahkan rezeki serta diberkatiNya.
Jika engkau melebihkan isterimu dari ibumu… tunggulah Allah memporak porandakan kehidupanmu… segala usahamu menemui jalan buntu… isteri dan anak-anakmu mungkin akan menderhakaimu… rezekimu disempitkan… pada saat itu… jangan kau cari salah orang lain KECUALI dirimu sendiri…
Ingatlah… menyakiti hati kedua ibubapa berdosa besar di sisi Allah… Apabila mereka merasa kurang senang denganmu… Allah juga kurang menyenangi dirimu… saat itu… meskipun mereka tidak pernah mendoakan keburukan buatmu… namun Allah tetap akan menjadi pembela bagi kedua mereka…
Ingatlah… jika kamu menderhaka kedua ibubapa… sebenarnya kamu menderhakai Allah dan sedang berperang dengan Allah itu sendiri… lalu tali pergantungan mana lagi yang akan menyelamatkan kamu di dunia dan di akhirat kelak???   Meskipun kamu solat 5 waktu dan berpuasa penuh di bulan Ramadan… semua itu tidak bererti jika ibadah itu tidak memberikan kesan kepadamu untuk mentaati kedua ibubapamu setulus hati.
Carilah dunia dengan reda Allah dan kedua ibubapamu…
DAN
Burulah akhirat dengan reda Allah dan kedua ibubapamu…
Wassalam
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan