2011/07/19

CINTA DALAM ISLAM





Melalui penyata yang juga merupakan surat kiriman dari Allah tertera mengenai
cinta.

a) Cinta kehadrat Ilahi.

Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui skil
cinta murni kehadrat Ilahi. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan ia menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah.
(أول الدين معرفة الله ).

Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab
pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap. Firman Allah SWT :

- Surah Al-baqarah ayat : 165 –

Meletakkan diri dalam zumrah orang-orang yang menyintai Allah mestilah
bertindak penuh dengan mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya.Firman Allah SWT :

- Surah Al-Kahfi ayat : 11 –

Pencinta Allah adalah pemilik iman yang komited merangkap pejuang yang
dinamis.Mereka menanggapi kewujudan Allah sebagai Qadhi Rabbul Jalil yang tiada tandingan.
Firman Allah SWT :

- Surah Al-Maidah ayat : 50 –
- Surah an-Nisa’ ayat : 124 –

Merekalah tentera Allah yang aktif dan terpilih untuk bertugas gigih bagi
memastikan agama tertegak di muka bumi ini,pula layak menyandang pingat kejayan sejati.

- Surah Al-Maidah ayat : 54 –

Individu mukmin dalam memburu kesempurnaan ibadat dan kejayaan perjuangan sepastinya merangkul erat nilai cinta kepada Allah.

1. تقرب إلى الله
2. مراقبة الله
3. جهاد فى سبيل الله

Kecintaan kepada Allah antara semboyan untuk mengundang nusrah dan cinta
Allah sedangkan nusrah dan cinta Allah pula menjadi saranan terpenting yang digunakan untuk menjamin keistiqomahan dan kekuatan dalam menghadapi konspirasi musuh-musuh Allah .

Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Menjelaskan tentang nilai cinta Allah telah berkata :

العلامة أبو يزيد البسطامى : ليس العجب من حبى لك وأنا عبد فقير إنما العجب من حبك لى وأنت ملك قدير
ترجمة فى الطبقات الكبرى 1/65)

b) Kecintaan kepada Rasul

Perutusan duta besar المصطفى ملعمadalah pemegang mohor yang maha Agung
untuk menguruskan dan mengendalikan titah perintah عزوجل sehingga terlaksana pengabdian diri kepada Allah dan pembenterasan الطواغيت
Firman Allah SWT :

- Surah An-Nahl ayat : 36 –

Justeru itu menjadi hak mutlak bagi Baginda Rasul saw bahawa ia semestinya
dicintai lantaran Baginda telah berselut lumpur menghidupkan obor diri sekaligus menyungkurkan puak jahili.


Menyintai Baginda Rasul saw bererti memberi syahadah dan ikatan bai’ah demi perlaksanaan syariat Allah SWT.Firman Allah SWT :

- Surah Al-Hasyar ayat : 7 –

Realiti cinta kepada Saiyidil Mursalin saw mampu menghadirkan cinta Allah
sebagai satu gandingan cinta sejagat. Cinta inilah yang berenergy tinggi ke lokasi tenang dan bahagia serta penyelamat dari sentuhan azab.Firman Allah SWT :

- Surah At-Taubah ayat : 24 –

c) Cinta mukmin

Interaksi cinta sesama mukmin antara pembuluh yang menyalurkan ‘Izzah dan
Himmah Ummah Muhammadiah. Keprihatinan Islam mengorientasi ummah berkombinasi dan bersepadu adalah melalui perlaksanaan program ukhuwwah Addiniah yang bercagarkan percintaan sesama insan.Abu Al A’la Al Maududi dalam risalahnya (تيف السبيل إلى وحدة الأمة الإسلامية ) telah merakamkan :

لست مبالغا فيما أقول أنه لا توجد نظرية لا فى لقديم ولا فى الحديث توجد الإنسانية وتصلح أساسا للدولة العالمية إلا نظرية الإسلام والإسلام فقط هذه هى منهجية الوحيدة التى باستطاعتها أن تجمع بين الناس جميعا وتجعل منهم عائلة واحدة يتكون منها مجتمع عالمى و تنشاء عليها دولة عالمية.

Jalinan erat hati dan tenaga sesama mukmin,menyuburkan semangat تناصر dalam pembinaan akidah yang mantap,sosial yang sihat dan kekuatan tenaga yang ampuh.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
لا تحاسدوا ولا تناجشوا ولا تباغضوا ولا تدابروا ولا بيع بعضكم على بيع بعض وكونوا عباد الله إخوانا المسلم أخو المسلم لا يظلم ولا يخذله ولا يحقره التقوى ها هنا ويشير إلى صدره ثلاث مرات ( أخرجه المسلم )

Akidah yang mantap, sosial yang sihat dan kekuatan yang ampuh merupakan senjata serampang tiga yang efektif untuk menggempur elemen jahiliyyah dan menangani manipulasi Al-Ahzab moden. Berlangsungnya pembelengguan dan penjajahan ummah kini lantaran ketandusan cinta dan kegersangan kasih sayang. Dunia kini merintih kehausan عدالة – سعادة – ومحبة angkara retaknya solidariti ummah.lantas itulah Allah berfirman :
واعتصموا بحبل الله جميعا و لا تفرقوا واذكروا نعمة الله عليكم……..

 
Ya Allah, Kurniakanlah aku isteri yang bukan sekadar kekasihku, 
Tapi jadikanlah jua dia pendamping dikala sunyiku,
Penyejuk segala isi pandangan mataku,
Penyinar dikala derita hatiku,
Pengubat siksaan rinduku,
Dan juga yang mithali kepada anak anakku, amin...




Kenapa kita perlu ucapkan terima kasih?
1.  Tanda kesyukuran kita kepada Allah.  Syukur kerana Allah mencipta kita sebaik-baik kejadian.  Syukur kerana Allah membukakan pintu hati orang lain untuk membantu kita.
2.  Tanda penghargaan kepada orang yang membantu kita
3.  Menunjukkan kita sangat menghormati orang yang telah bersedia membantu kita.
4.  Ucapan ‘terima kasih’ mampu membuatkan badan yang letih, dan otak yang penat merasa kembali cergas dan cerdas.
5.  Mengambarkan siapa diri kita,  orang yang ringan mulutnya mengucapkan terima kasih biasanya orang yang sangat menghargai orang lain dan tidak pentingkan diri sendiri.
(Jadi ringan-ringankan mulut kita mengucapkan Syukur pada Allah,  terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga,  terima kasih kepada rakan-rakan,  terima kasih kepada orang di sekeliling kita:) 


 

2011/07/18

Hijrah Membentuk Keluarga Bahagia




Hijrah di dalam episod Nabi Muhammad S.A.W dan kaum muslimin bukan sahaja membuka jalan kepada perkembangan Islam dan mendekatkan diri kepada Allah, tetapi juga memberi satu perkembangan baru dalam hubungan sesama manusia. Berdasarkan dakwah islamiah ini, dapatlah diambil satu pengajaran iaitu dalam membentuk keluarga islam yang cemerlang, langkah pertama yang perlu adalah memeperkuatkan akidah dan keimanan terutama dalam melayari rumahtangga.

Firman Allah : "Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal (mendapat ketenangan di dalamnya)". - Surah An-Nahl ayat 80.

Islam telah menggariskan satu panduan hidup yang lengkap bagi segala perkara yang berkaitan dengan penghidupan manusia. Keamanan dan kesejahteraan yang wujud dalam sebuah keluarga adalah faktor terpenting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, bahagia dan cemerlang. Tugas setiap ahli keluarga hendaklah dilaksanakan dengan sempurna mengikut hak masing-masing. Suami mempunyai hak ke atas isteri dan anak-anak dan demikian juga sebaliknya. Jika setiap anggota keluarga tahu melaksanakan hak mereka maka akan wujud keharmonian dan kecemerlangan di dalam keluarga mereka.

Keluarga Islam wajib menjadikan Islam sebagai panduan dan cara hidup. Syariah, akidah dan akhlak Islam perlu menjadi dasar hubungan kekeluargaan ini. Menjadi tugas dan tanggungjawab suami isteri untuk mendokong dan menghayati konsep al-mawaddah dan al-rahmah seperti mana firman Allah S.W.T bermaksud :

"Antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T ianya mencipta untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang (al-mawaddah) dan belas kasihan (al-rahmah), sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda orang yang berfikir."




Terdapat beberapa ciri yang perlu ada untuk membentuk sebuah keluarga cemerlang antaranya bertakwa, bekerjasama, saling memahami, sayang menyayangi dan bertanggungjawab. Konsep ketakwaan kepada Allah s.w.t harus dititikberatkan dalam setiap ahli keluarga iaitu taat segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah S.W.T. Sembahyang lima waktu contohnya, tidak seharusnya diabaikan oleh setiap ahli keluarga. Anak-anak yang masih kecil seharusnya dididik mengerjakan sembahyang supaya apabila dewasa nanti mereka memahami bahawa sembahyang itu adalah wajib bagi setiap umat Islam. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,

"Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka ketika berumur 10 tahun sekiranya mereka enggan; dan pisahkan tempat tidur mereka." - Riwayat Al-Hakim dan Abu Daud

Bagi membentuk keluarga cemerlang juga, kita perlu berhijrah dengan menjadikan rumah sebagai ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan. Ini dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga dan menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama-sama. Pembacaan buku agama di rumah beramai-ramai juga merupakan amalan yang sihat bagi rumahtangga cemerlang kerana secara tidak langsung dapat menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga.

Amalan-amalan tersebut selain mempunyai faedah yang besar, ia dapat mendidik anak-anak menghayati budaya keluarga Islam yang cemerlang. Ia juga dapat menghindari ahli-ahli keluarga terjerumus ke dalam maksiat dan kemungkaran.

Sebagai ketua keluarga, suamilah yang mencorakkan kehidupan sesebuah keluarga. Jika keluarga dicorakkan dengan acuan kehidupan ala barat, maka begitulah jadinya. Tetapi jika suami mempunyai kesedaran roh Islam, sudah pasti akan terdidiklah ahli keluarga mereka dengan syariat Islam yang sebenar. Anak-anak yang tabiinya berkeadaan suci bersih maka ditangan ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan anak mereka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

"Tiap-tiap anak dilahirkan berkeadaan fitrah (suci bersih), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi" - Riwayat Bukhari



Ketenangan dalam rumahtangga tidak akan wujud tanpa berusaha ke arahnya. Seorang suami yang mempunyai kuasa mutlak dalam keluarga seharusnya lebih bertolak ansur dan memahami keadaan isterinya dalam menempuh arus kehidupan dalam zaman yang serba moden ini. Tekanan kerja dan kos kehidupan yang semakin mencabar bukanlah alasan untuk mengabaikan tanggungjawab dan layanan kepada pasangan. Perubahan seperti inilah yang memenuhi maksud hijrah dalam konteks suami masa kini. Oleh itu, si suami harus lebih memahami isterinya, bertolak ansur, sentiasa kasih mengasihi, memperbanyakkan sabar, tabah di dalam menghadapi gelora rumahtangga dan menjadikan sikap suka bermaaf-maafan sebagai satu amalan. Dengan itu, segala masalah yang timbul dapat diatasi dengan aman dan keharmonian rumahtangga terus terpelihara.

Isteri adalah berkongsi peranan dalam membantu suami mencapai matlamat rumahtangga yang dibina. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasai bermaksud,

"Sebaik-baik isteri ialah menggembirakan suami apabila dilihat, apabila suami memerintah dia patuh dan apabila suami tidak ada di sisinya dia menjaga kehormatan dirinya dan harta kepunyaan suaminya." 


Islam telah memberi garis panduan yang jelas berkenaan ketaatan seorang isteri kepada suaminya iaitu bukan pada perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam iaitu al-Quran dan Sunnah. Isteri sememangnya memiliki kelebihan dan potensi yang tiada pada suami. Kelembutan, penyayang dan penyabar merupakan ciri terpenting dalam mendidik anak-anak dan pasangan hidup yang sempurna. Oleh itu, isteri mesti memainkan peranan membina keluarga cemerlang dengan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada suami. Maka sewajarnyalah si isteri berubah dan berhijrah menjadi isteri yang solehah, berperanan secara aktif dan optimis serta bersama-sama berganding bahu membina keluarga Islam yang sebenarnya.

Jika suasana rumahtangga mulai hambar, suami isteri perlu mengimbas kembali keindahan rumahtangga yang pernah mereka kecapi di awal-awal perkahwinan. Jika suami isteri mula merasai ada unsur-unsur kebosanan dalam keluarga, masing-masing perlu segera memainkan peranan untuk membaikinya. Ini kerana keluarga cemerlang adalah berasaskan kebahagiaan hubungan suami isteri itu sendiri.

Bagi mengelakkan sebarang masalah atau perselisihan, suami isteri perlu bekerjasama dan saling berbincang tentang hal-hal yang berkaitan dengan urusan rumahtangga, pendidikan anak-anak mahupun kewangan.

Oleh itu, sewajarnyalah kita berhijrah meninggalkan sikap yang lama iaitu mementingkan kerehatan diri sendiri setelah pulang bekerja sama ada suami atau isteri dan mengabaikan tugas dan peranan sebagai ahli keluarga. Mereka seharusnya bekerjasama dan bersabar dalam membina kerukunan rumahtangga. Suami isteri harus bijak dan berlatih membahagikan masa serta saling bertoleransi antara satu sama lain kerana hasil yang baik tidak mungkin dapat dikecapi tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan berpenat lelah terlebih dahulu.

Suami seharusnya menyedari tentang beban pasangannya. Dia seelok-eloknya bersikap berkasihan belas kerana banyak perkara yang perlu si isteri lakukan dalam masa yang singkat seperti menjaga kebajikan suami dan anak-anak, pendidikan anak-anak, urusan rumahtangga dan keperluan dirinya sendiri. Dalam masa yang sama si isteri tidak seharusnya mementingkan diri sendiri tetapi turut menghalusi beban yang ditanggung oleh suami dalam meningkatkan ekonomi keluarga. Jelas di sini bahawa seisi keluarga harus saling memahami masalah dan beban tugas masing-masing dalam pekerjaan, rumahtangga dan pendidikan anak-anak. Di samping itu, bebanan yang wujud ini menimbulkan pelbagai emosi yang positif dan negatif. Bagi mengekalkan keharmonian dalam keluarga, masing-masing perlu berperanan menjaga emosi pasangannya.

Firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari seksaan api neraka"

Berdasarkan ayat ini, ternyatalah suami isteri bertanggungjawab untuk berusaha mendidik anak-anak sejak dari kecil dengan asas keimanan iaitu rukun-rukun dan prinsip-prinsip agama yang luhur. Bagi mengimbangi didikan yang diterima oleh anak-anak, ibu bapa juga perlu meluaskan dalam memberi pendidikan seperti pendidikan akademik, jasmani, akal, kejiwaan dan kemasyarakatan. Ini supaya anak-anak dapat membesar dalam keadaan seimbang sebagai seorang anak yang soleh.

Keluarga cemerlang memerlukan anak-anak yang terdidik dengan sifat kasih sayang, penuh ketaatan dan rasa tanggungjawab. Anak merupakan amanah Allah S.W.T kepada hamba-hamba-Nya. Kelahirannya seumpama kain putih bersih daripada noda dan kekotoran duniawi. Justeru, yang mencorakkan warna-warnanya adalah ibu bapa sendiri. Anak memainkan peranan yang penting untuk menjadikan suasana yang harmoni dalam keluarga. Ibu bapa perlulah memberi didikan yang sempurna kepada anak-anaknya sama ada ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi. Dengan didikan yang sempurna ini, anak-anak dapat memikirkan perkara yang baik dan buruk, seterusnya mentaati ibu bapanya yang melahirkannya ke dunia. Taat kepada ibu bapa ini bukanlah taat kepada perkara yang mungkar seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain, tetapi ketaatan seorang anak itu adalah atas perkara yang makruf dan yang diredhai Allah S.W.T. Perlulah diingat bahawa seorang anak tidak boleh berlaku kasar atau menzalimi kedua-dua ibu bapanya sekalipun sekadar menyebut perkataan ‘ah’ kerana ia sudah dianggap menderhaka dan berdosa besar.

Menuntut ilmu juga adalah peranan yang perlu dilakukan oleh setiap anak dari keluarga yang cemerlang. Ilmu yang perlu dituntut bukan hanya ilmu keduniaan seperti sains dan matematik, bahkan juga ilmu akhirat seperti akidah, ilmu feqah dan tasawwuf. Anak-anak yang memperolehi kedua-dua ilmu itu sudah tentu dapat menseimbangkan antara ibadat khusus dan pekerjaan supaya antara kedua-duanya tidak diabaikan.



Anak-anak yang soleh pastinya anak yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu bapa sama ada yang masih hidup atau sudah mati. Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa apabila matinya anak Adam maka terputus amal ibadatnya kecuali tiga perkara,

pertama : ilmu yang bermanfaat,
kedua : sedekah jariah dan
ketiga : doa anak-anak yang soleh.

Jelaslah bahawa peranan anak-anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapanya amat penting bagi menjamin ibu bapanya sentiasa hidup bahagia, sejahtera dan diredhai Allah S.W.T di dunia dan akhirat.

Satu lagi peranan bagi seorang ahli keluarga ialah menjaga nama baik keluarga. Terutama anak yang soleh pastinya anak yang sentiasa berkelakuan baik walau di mana sahaja dia berada. Apa yang dilakukan adalah berlandaskan ajaran Islam yang suci walau dalam apa bidang yang diceburi. Anak-anak yang soleh tidak mudah terjebak ke lembah kehinaan seperti penyalahgunaan dadah, seks bebas dan sebagainya yang boleh memberi aib kepada ibu bapa dan keluarganya.

Keluarga yang cemerlang bukan hanya diperolehi hasil dari hubungan antara anggota keluarga sahaja malahan hubungan dengan jiran sekeliling. Perhubungan kejiranan yang intim dapat diwujudkan bermula dengan berbual-bual mesra antara satu sama lain. Keluarga yang cemerlang bukan sahaja mewujudkan suasana yang harmoni di dalam keluarga bahkan keharmonian tersebut dapat dikongsi bersama sesama jiran. Sikap dan amalan yang negatif seperti mengumpat, hasad dengki, menyakiti jiran, menabur fitnah, mementingkan diri sendiri, anti sosial dan sebagainya, tidak ada dalam kamus keluarga cemerlang. Setiap anggota keluarga bermula dari ibu bapa sehingga anak-anak adalah sama-sama bertanggungjawab mewujudkan suasana harmoni sesama jiran. Oleh itu, keluarga yang cemerlang ialah anggota keluarga yang berhijrah meninggalkan elemen-elemen yang merosakkan hubungan dan semangat kejiranan.

Secara umumnya dapatlah ditegaskan di sini bahawa mendirikan rumahtangga atau membentuk sebuah keluarga cemerlang merupakan satu tuntutan Islam dan sempurnanya separuh agama.

Oleh itu, berhijrahlah diri dari sikap yang buruk dan pengaruh jahiliyah kepada acuan Islam yang pastinya memandu kita mewujudkan keluarga Islam yang harmoni lagi cemerlang dan berpeganglah kepada al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk hidup kita. Kikislah minda yang tidak bersesuaian dengan agama agar hidup kita akan diredhai oleh Allah dan mendapat keampunan-Nya.

Kasih Sayang Dalam Keluarga dan Dakwah


Kasih sayang adalah intipati kehidupan dan perjuangan

Baru-baru ini, sehari sebelum di aqad nikah, seorang teman datang sebentar ke rumah saya untuk bertanyakan tips hidup berumahtangga. Kehidupan saya berumahtangga selama lebih 20 tahun, sudah tentu tidak mungkin dapat disimpulkan dalam beberapa petua dalam masa sejam dua. Saya mengambil kesempatan singkat tersebut untuk menekankan satu hakikat yang sangat penting dalam kehidupan berumahtangga, bahkan kehidupan di dalam Jalan Dakwah dan kehidupan dalam masyarakat antarabangsa. Hakikat itu adalah kasih sayang.



Sebelum saya meneruskan bicara, kasih sayang dalam rumahtangga adalah juga sama dengan kasih sayang di dalam jemaah di Jalan Dakwah. Keluarga adalah jemaah yang kecil. Jemaah adalah sebuah keluarga yang besar. Keluarga dan jemaah ada juzuk pemimpin dan mereka yang dipimpin. Kedua-duanya ada aspek bekerja bertungkus lumus dalam menerima ahli baru, meningkatkan kualiti diri diaspek ilmu dan syahsiyah ahli, bekerja keras mencapai matlamat kehidupan dan Islam yang digariskan Allah swt, bersama menanggung susah dan berkongsi menyambut hari-hari gembira dan sebagainya.



Berdakwah dengan penuh kasih sayang adalah kunci kejayaan.


“Sesungguhnya orang-orang beriman adalah Ikhwah (bersaudara)” (Al-Quran). Ikhwah di dalam ayat diatas sering diterjemah sebagai bersaudara, sedang saudara mara lebih tepat di dalam bahasa Arab sebagai Qurabah atau Aqribak (kerabat). Ikhwah sebenarnya lebih banyak digunapakai bererti adik beradik. Oleh itu ikatan orang-orang beriman apatah lagi di dalam satu jemaah di Jalan Dakwah lebih tepat digambarkan seperti ikatan adik beradik di dalam satu keluarga, dinaungi dan dipimpin oleh kepimpinan yang bersifat seperti ayah dan ibu kandung. Sepertimana di dalam keluarga yang sering membuat pertemuan bersama-sama ketika hari raya dan cuti sekolah, menghilang rasa rindu dan berkongsi perkembangan senang maupun susah, anggota-anggota di dalam satu organisasi juga dikira berjaya menghayati perasaan kasih sayang sekiranya mereka selalu rindu terhadap program-program yang mempertemukan sesama mereka, mendengar sebarang bentuk nasihat dan tunjuk ajar dan berkongsi perkembangan diri, keluarga dan Dakwah dalam pertemuan dan perbualan tersebut.




Melalui pengalaman dan pengamatan lebih 25 tahun di dalam amal Dakwah yang mana di satu tempat atau masa penuh kasing sayang dan di dalam satu tempat atau masa yang lain pula di dalam fitan (haru biru) dan hilang perasaan kasih sayang, saya dapat menyimpulkan bahawa :


1. Asas Dakwah atau amal Islami adalah kasih sayang yang didasari Iman. Tanpanya, tiada buah kepada Iman, bahkan tiada Amal Islami sejati pun yang hendak diperjuangkan.

2. Kasih sayang bukan sahaja dituntut berlaku sesama ahli dalam organisasi, keluarga, suami isteri, bahkan juga terhadap mad’u yang kita hendak dakwahkan, bahkan terhadap sekelian bani insan di dunia ini. Lihat sahaja tulisan Al-Banna di dalam risalah-risalahnya, kita akan dapati ruh kasih sayang yang sangat mendalam terhadap semua lapisan manusia.

3. Di masa atau tempat yang subur kasih sayang sesama ahli-ahlinya, segala masalah yang sebenarnya besar dan runcing, saya lihat menjadi masalah yang sangat kecil dan remeh yang tiba-tiba sahaja menjadi selesai sebelum sempurna usaha yang bersungguh-sungguh untuk membenterasnya.

4. Dimasa atau tempat yang kasih sayang sesama ahlinya pudar, bermasalah atau tidak mendapat penekanan yang secukupnya, segala masalah yang sebenarnya kecil dan remeh, tiba-tiba menjadi satu masalah yang sangat besar, sukar diselesaikan bahkan terbawa-bawa hingga ke peringkat tertinggi dalam organisasi !

5. Kasih sayang tempatnya di hati dan ruh yang dimiliki oleh Allah swt. Ia adalah ikatan hati dan ruh itu sendiri. Oleh itu keikhlasan yang tinggi kepada Allah sahaja yang dapat menjamin tersemainya kasih sayang hakiki yang diinginkan. Di sini pentingnya ilmu tentang Islam dan perjuangannya, kefahaman tentang matlamat dan Jalan Dakwah, kewajipan sebenar sebagai hamba Allah, pengikut Rasulullah saw dan anggota jemaah. Tanpa hakikat-hakikat di atas, perjuangan dan kasih sayang yang dimiliki adalah menyeleweng, rapuh dan akan berkecai pada bila-bila masa. Gugurnya seorang demi seorang dari Jalan Dakwah yang berlaku di depan mata kepala kita sendiri dari masa kesemasa membenarkan hakikat ini. Ada yang meninggalkan Jalan Dakwah hanya kerana teman-teman enggan meminjamkan wang kepadanya.

6. Wajib keatas setiap individu yang cintakan Islam dan kejayaannya di hari muka menyuburkan perasaan kasih sayang terhadap isterinya, suaminya, anak-anak, ahli di dalam organisasi dan manusia amnya. Sebarang sebab yang membawa kepada keadaan sebaliknya hendaklah segera disingkir atau dijauhkan. Ini termasuk bersangka buruk, mengumpat, mencari aib orang lain, ghurur (tertipu kehebatan diri kononnya), menerima berita tanpa periksa, kurang taaruf, ziarah dan berterus terang dan sebagainya.

Walaupun perbahasan diatas nampak menyangkut perihal dalam organisasi jemaah, namun ia juga sebenarnya tips dalam membina organisasi rumahtangga Dakwah yang berjaya. Hakikatnya, tiada yang didamba oleh siisteri dan anak-anak melainkan kasih sayang dari seorang suami dan ayah. Kasih sayang ini melebihi dari wang ringgit dan kemewahan harta dunia. Kekadang kita berasa aneh apabila melihat si anak yang sedang belajar di perantauan Barat yang hidup canggih serba moden sanggup membeli tiket ribuan ringgit untuk pulang bercuti di kampung yang terletak di ulu sungai di tanahair hanya semata-mata kerana dahagakan kasih sayang dari ibu bapanya.



Sebagai suami, ayah atau pemimpin, kita bukan sahaja dituntut agar menyayangi isteri, anak-anak dan anggota, tetapi juga kita dituntut menunjukkan kasih sayang tersebut kepada mereka. Menyayangi adalah perasaan. Menunjukkan kasih sayang adalah perbuatan yang boleh dilihat mereka. Betapa ramai kita yang menyayangi tetapi gagal menunjukkan kasih sayang sehingga boleh dirasai, dihargai dan dinikmati oleh orang lain. Oleh itu pada saya tidak cukup seorang suami itu terhadap isterinya sekadar affection (a feeling of loving), tetapi mestilah romantic (showing feelings of love). Tidak cukup pimpinan itu terhadap anggotanya sekadar bersifat concern, tetapi mestilah caring.




“Subhanallah wa bihamdihi, Subhanallahil Azim ringan dibibir tetapi berat di timbangan (Hari Kiamat)”, maksud pesanan dari Rasulullah saw. “Apabila kamu sayang kepada saudaramu, katakan kepadanya “Aku sayang kepada mu” (maksud Hadis). Ramai lelaki yang tidak tahu bahawa ungkapan kepada isterinya ‘Abang sayang kepada Ani’ walaupun ringan dibibir seorang suami tetapi besar nilai dan kesannya kepada si Ani, isterinya. Ramai yang menyangka cukuplah sekadar bekerja kuat mencari nafkah sebagai tanda sayang kepada isteri dan anak-anak, tanpa perlu untuk mengungkapkan kata-kata romantik ! Berdasarkan hadis di atas, sangkaan tersebut adalah tidak benar.




Allah swt menciptakan lelaki dan perempuan dengan ciri-ciri yang similar but not identical. Banyak gaya bahasa yang dikeluarkan oleh satu jantina tidak difahami oleh satu jantina yang lain. Begitu juga bahasa anak kecil banyak yang tidak difahami oleh si ayah atau saya sendiri. Si anak kecil menangis tidak mahu ikut berjalan ke rumah nenek kekadang menyebabkan si ayah mencadangkan tempat lain yang lebih menarik seperti taman permainan. Pada si ayah, tangisan tersebut adalah kerana perasaan tidak puas hati si anak. Namun di anak tetap tidak mahu dan terus menangis. Si ibu lebih memahami rupanya di anak menangis lapar kerana kerana belum makan tengahari tadi ! Sering di dalam Dakwah, anggota di lihat bermasalah di segi prestasi amal atau perkataannya, atau si isteri bersikap dingin atau berleter. Pemimpin atau suami sering membuat diagnosis yang salah dari tanda-tanda yang lahir dari isteri atau teman di dalam Jalan Dakwahnya. Berbagai perbincangan, mesyuarat, berterus terang, jalan penyelesaian, wang ringgit dicurahkan namun tidak juga berkesan. Mungkin kerana masalah di pejabat, mungkin kerana kurang wang belanja, mungkin juga kerana masalah komunikasi atau mungkin kerana masalah pengajian di universiti. Sering bila diamati, jawapan sebenar ialah kerana merosot atau hilangnya perasaan kasih sayang di dalam rumahtangga dan organisasi.




Demikian sedikit sebanyak pesanan saya kepada teman yang datang untuk berkongsi pengalaman, dan saya muatkan di dalam blog ini dengan tambahan-tambahan dimana perlu semoga ianya berguna kepada para pembaca sekelian di dalam melayari kehidupan berumahtangga dan Jalan Dakwah. Kenalilah hakikat kasih sayang, hargailah peranan besar yang dimainkannya dalam menjamin kejayaan kita melayari bahtera rumahtangga dan Dakwah. Kelak kita akan takjub betapa kasih sayang mampu menggerakkan ahli disekeliling kita menuju ke arah kejayaan yang kita cita-citakan.




“Tidak beriman kamu sehingga Allah dan RasulNya lebih disayanginya dari selain kedua-duanya” (Hadis).


“Tidak beriman kamu sehingga dia menyayangi temannya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri” (Hadis)

“Orang-orang beriman itu Ikhwah (adik beradik), maka baikilah hubungan diantara kamu dan bertaqwakan kepada Allah …” (Al-Quran).

hormati ibu bapa

Ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.
Dewasa ini ramai anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka. Perkara ini amat serius terutamanya di negara Barat yang telah rosak dalam sistem sosial dan kekeluargaan. Anak-anak telah hilang rasa hormat, sering bercakap dengan nada tinggi dan kasar, bahkan ada yang berani memukul kerana tidak sependapat atau berselisih faham.
Yang lebih teruk, ada yang tidak segan silu menyaman ibu bapa mereka jika menyentuh hal peribadi mereka. Inilah kelemahan sistem manusia yang sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi tidak pernah mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.
Islam mengajar agar anak-anak menghormati ibu bapa dan menghargai pengorbanan mereka. Perintah ini banyak dimuatkan dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa perkara ini amat penting.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14)
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa…” (al-Ahqaf, 46: 15)

Menghormati dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Hadith RasulAllah di bawah wajar diperhati sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dengan ibu bapa.
“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).
RasululAllah tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibu bapa mereka termasuk dalam golongan muslim. Dalam hadis yang lain, perbuatan derhaka kepada kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sebagai contoh mudah, cerita lama si tanggang yang sombong dan mengina ibunya setelah menjadi nahkoda kapal, mendapat balasan dengan ditukar menjadi batu setelah ibunya merintih dan berdoa kepada Allah akan memberi pengajaran kepadanya.
Menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan dosa yang besar dan sangat dimurkai oleh Allah. Perkara ini diberikan contoh yang lebih mendalam dan lebih kecil sehingga kepada perkataan dan ucapan seharian.
Allah melarang anak-anak melawan ibu bapa mereka dengan nada yang kasar yang boleh menyentuh hati seperti perkaaan ‘ah’, ‘cis’, ‘uh’ dan sebagainya.
“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (al-Isra’, 17: 23 )
Perkara ini mungkin nampak kecil, namun Allah tetap menekannya agar manusia mengambil peringatan dalam menjaga adab dan sebagai batas-batas dan aturan yang perlu diikuti demi keharmonian hidup.
Sebagai anak, wajar kita sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan mengucapkan kata-kata yang baik dan menyenangkan hati mereka. Dan lebih-lebih lagi kita dituntut agar mendoakan kesejahteraan mereka.
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (al-Isra’, 17: 24)
Menghormati dan berbakti kepada ibu bapa merupakan suatu perkara yang sangat disukai oleh Allah dan termasuk dalam perbuatan yang menjadi keutamaan yang tinggi.
Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Marilah kita bersama-sama menyemai kasih sayang dan mewujudkan keharmonian dalam keluarga sehingga diberkahi dan mendatangkan sakinah. Semoga keharmonian dalam keluarga akan menyemarakan lagi kesejahteraan dan kualiti hidup bermasyarakat.

2011/07/17



Assalamu’alaikum warahmatullah.

Saya agak kurang sihat sekarang… simptom yang dialami ialah pening, muntah dan sering keletihan, demam…dan juga… rasa tidak berminat untuk membuka ‘laptop’… :)
Bau-bau masakan jiran yang dahulunya membuatkan saya tertanya-tanya apa yang dimasak mereka… sekarang ini terasa begitu menyakitkan… uwek…uwek…uwek… apa lagi, kalau tidak dimuntahkan kembali apa yang ada di dalam perut meskipun sekadar air dan angin apabila terbau bauan yang menyucuk hidung…
Mula-mula alahan datang, mengidam makan Nasi Kerabu… dua tiga hari selepasnya… dek asyik teringat… semasa mahu memohon terjemahan lesen memandu di JPJ Panji, saya berpusing mencari Nasi Kerabu Hitam kegemaran. Kedai berhampiran rumah yang saya suka Nasi Kerabunya sudah lama tidak menjual Nasi Kerabu Hitam dengan rasa serainya. Jadi terpaksa ‘round’ tempat lain untuk mendapatkannya. Biasanya saya minta suami carikan apa-apa yang saya mahu makan… namun kali ini, dia begitu sibuk… saya pun seboleh-bolehnya kena kurangkan bermanja dan kurang membebankan dia.
Haa… Alhamdulillah jumpa juga Nasi Kerabu Hitam…
“Makcik… Nasi Kerabu dua bungkus”
Itu dia… dua bungkus sekali pesan… ada keropok tapi ikan celup tepungnya sudah habis…
“Makcik… letakkan sekali ‘habuk’ ikan goreng tu ye…”
Dua bungkus Nasi Kerabu dalam genggaman… mahu segera makan, tiada tempat yang sesuai untuk ‘landing’… Hmmm… tak apa lah… selesaikan urusan di JPJ dulu. Nasib baik tidak lama… sebab dokumen yang diperlukan tidak cukup. Selepas ambil borang… segera kembali ke rumah. Alhamdulillah… dapat ‘pekena’ Nasi Kerabu pagi sekali dan tengahari sekali. Puas hati…
Betul kah kata-kata orang tua yang menyatakan jika ibu hamil mengidam itu tandanya janin dalam perut yang mahukan semua itu… jika tidak dipenuhi… selepas lahir… bayi itu akan selalu berair mulutnya? Entahlah saya rasa semua itu khurafat… saya yang hamil… saya yang mengidam… sayalah yang mahu makan semua itu.
Selepas itu, tidak ingat lagi Nasi Kerabu… hai… perasaan lain pula yang datang… mahu Nasi Arab pula… di Kelantan hanya ada dua restoran makanan Arab yang saya tahu… pertama Tarbus dekat Billion dan kedua Arabesque di Jalan Dato’ Lundang. Namun kedua-duanya saya rasa makanan Arabnya tidak seasli yang saya pernah makan di Jordan walaupun chefnya orang Arab sendiri. Saya mahu masak sendiri… lagilah jauh dari rasa aslinya… jadi nasi ayam bolehlah…
Akhirnya, kerana asyik teringat… saya mencemar duli juga berkunjung ke Arabesque. Selepas melihat menu, saya menempah Nasi Mandi Kambing, Nasi Mandi Ayam dan syawarma daging campur ayam. Ada humus sekali. Jika ikutkan, di Tarbus, harga makanan lebih murah… tapi Arabesque lebih dekat dengan rumah. Ok… selepas ‘pekena’ Nasi Mandi… sudah boleh lupakan nasi Arab… selepas ini saya tidak tahu apa lagi yang akan saya mengidam… lazimnya ia tidak akan berakhir sehinggalah bayi keluar dari ‘rumahnya’. Masya Allah…
Itulah sedikit sebanyak kerenah ibu hamil yang dapat dicoretkan di sini.
Alhamdulillah dan insya Allah… anak kelima saya, Aqil akan dapat adik lagi. Kandungan baru berusia 8 minggu. Bagi memujuk hati agar sabar dan reda pada situasi alahan yang di alami sekarang, saya selalu teringatkan perkataan Allah, wahnan ‘ala wahnin”… hmmm benar… Allah yang paling memahami diri saya saat ini…bukan saat ini sahaja… malah dulu, kini dan selamanya…
Pengalaman hamil sebanyak 5 kali sebelum ini dengan ragam alahan yang pelbagai menyebabkan saya begitu menghargai ayat 14 dari Surah Luqman yang berbunyi,
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan(dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Buat semua anak-anak, sama-sama kita berbakti kepada kedua ibubapa selagi hayat mereka dikandung badan. Usah tunggu sehingga mereka meninggal dulu baru mahu menyesal.
Buat anak-anak gadis yang masih tinggal bersama ibubapa, rajin-rajinlah menolong ibubapa di rumah tanpa perlu disuruh… lakukan kerana Allah dan dengan wajah yang manis… kelak hidupmu akan diberkati Allah dan sentiasa mendapat perlindungan dariNya. Rezekimu juga mudah mendekatimu. Jodoh yang baik juga akan didekatkan Allah kepadamu… tentu kamu suka begitu… bukan?
Jika anak-anak gadis hanya tahu membuta di pagi hari, membiarkan ibu yang sudah tua memasak untuk mereka setiap hari, membiarkan ibu mengurus rumah seorang diri dan hanya tahu melepak di luar rumah dengan rakan-rakan… tunggulah masanya Allah menyempitkan rezekimu… segala usaha duniamu menjadi sukar… jodohmu semakin jauh… dan jika ia datang sekalipun, suamimu itu bakal menggoncangkan kehidupanmu… pada saat itu, jangan kau mencari salah orang lain KECUALI dirimu sendiri…
Buat anak-anak lelaki, kedua ibubapamu lebih utama dari rakan-rakan dan isterimu sendiri… maka peliharalah hati kedua mereka selagi dalam perkara mentaati Allah swt. Ziarahilah mereka secara berkala dan hubungilah mereka selalu jika tidak berkesempatan menghadirkan jasad di hadapan mereka. Kelak hidupmu akan bahagia dan sentiasa dimurahkan rezeki serta diberkatiNya.
Jika engkau melebihkan isterimu dari ibumu… tunggulah Allah memporak porandakan kehidupanmu… segala usahamu menemui jalan buntu… isteri dan anak-anakmu mungkin akan menderhakaimu… rezekimu disempitkan… pada saat itu… jangan kau cari salah orang lain KECUALI dirimu sendiri…
Ingatlah… menyakiti hati kedua ibubapa berdosa besar di sisi Allah… Apabila mereka merasa kurang senang denganmu… Allah juga kurang menyenangi dirimu… saat itu… meskipun mereka tidak pernah mendoakan keburukan buatmu… namun Allah tetap akan menjadi pembela bagi kedua mereka…
Ingatlah… jika kamu menderhaka kedua ibubapa… sebenarnya kamu menderhakai Allah dan sedang berperang dengan Allah itu sendiri… lalu tali pergantungan mana lagi yang akan menyelamatkan kamu di dunia dan di akhirat kelak???   Meskipun kamu solat 5 waktu dan berpuasa penuh di bulan Ramadan… semua itu tidak bererti jika ibadah itu tidak memberikan kesan kepadamu untuk mentaati kedua ibubapamu setulus hati.
Carilah dunia dengan reda Allah dan kedua ibubapamu…
DAN
Burulah akhirat dengan reda Allah dan kedua ibubapamu…
Wassalam
.

Ahli Kelab Penyokong PAS Mimpi Jumpa Nabi


Seorang ahli kelab penyokong PAS, Kannan (nama samaran) memberitahu Ustaz A bahawa dia bermimpi jumpa Nabi Muhammad s.a.w.
Ustaz A bertanya bagaimana dia boleh tahu individu yang datang jumpa dia itu adalah Nabi?
Kannan beritahu individu itu memakai serban dan berjubah serta mengakui bahawa dia adalah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w lalu memberikan satu nama muslim kepada Kannan.
Berkenaan mimpi bertemu Rasulullah s.a.w ini, Abu Hurairah r.a. melaporkan bahawa Nabi s.a.w berkata, “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguh syaitan tidak mampu menjelma rupaku“.
Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.
Masya Allah, selepas selesai suami bercerita tentang hal itu, saya berfikir, ” Non-muslim pun boleh jumpa Nabi. Namun kita yang sedia Islam ini bukan mudah mahu dapat mimpi jumpa Nabi”.
Saya mendapat cerita ini semalam. Sehingga semalam, saya dimaklumkan Kannan belum lagi memeluk Islam. Ustaz A merupakan Pesuruhjaya PAS di sebuah negeri.
Berdasarkan pengalaman ramai non muslim yang revert sebelum ini, mimpi sebegini adalah lumrah dialami oleh mereka sebelum kembali ke agama fitrah mereka. Insya Allah, mimpi itu merupakan hidayah dari Allah untuk menambah keyakinan mereka terhadap kebenaran Islam.
Sama-samalah kita doakan mereka agar hati kita dan mereka tetap dengan Islam di masa-masa akan datang.
Mengenai lintasan fikiran saya di atas, saya gembira dengan khabar itu namun sedikit rasa cemburu menyelinap juga. Cemburu kerana mahu turut bertemu Nabi s.a.w.
Apa pun bila teringatkan bahawa ummah yang berpegang teguh dengan syariat Allah dan sunnah Nabi s.a.w tetap akan bersama Rasulullah s.a.w di akhirat kelak, maka cukuplah hal itu menjadi penawar untuk saya terus berusaha meneladani Rasulullah s.a.w sedaya mampu.
Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.
1] Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah);
[2] Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai;
[3] Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
Surah al-Nasr (Kemenangan)
A


Selamat Datang Ramadan!


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

Assalamu’alaykum,

Khusus untuk para pengunjung blog Islam Itu Indah,

Moga Ramadan 1430 menambah Indahnya Islam dan Iman di dada kita! Amin.

Maksud tulisan khat bersaiz besar (lebih kurang);
Semoga hubungan kamu dengan Allah lebih akrab sempena Ramadan ini!